Usaha ke arah memantapkan sistem pendidikan di semua peringkat di Kementerian
Pendidikan Malaysia dalam bidang kepimpinan dan pengurusan telah bermula apabila "Malaysian Educational
Staff Training Institute" (MESTI) ditubuhkan pada Mac 1979. MESTI ialah sebuah Institut Latihan
Pegawai-Pegawai Pendidikan yang status awalnya adalah sebahagian daripada Bahagian Pendidikan Guru (BPG)
Kementerian Pelajaran Malaysia pada masa itu.
Penubuhan MESTI adalah berdasarkan Laporan Jawatan Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran,
1979(285)
Setakat ini belum ada sebuah maktab atau institusi pelajaran tempatan yang menawarkan latihan
bagi pegawai-pegawai di bawah Kementerian Pelajaran untuk meninggikan taraf ikhtisas mereka. Pada masa
ini kebanyakan pegawai ikhtisas yang memerlukan latihan lanjutan biasanya dihantar ke luar negara.
Amalan ini melibatkan perbelanjaan yang tinggi dan bilangan pegawai yang dapat dihantar adalah terhad.
Selain daripada itu, bidang kajian yang mereka ikuti dan juga cara pemikiran terhadap sesuatu isu pendidikan
mempunyai orientasi yang asing. Ini tidak mungkin memberi faedah yang maksimum kepada negara.
Oleh yang demikian, dalam konteks mempertingkat keberkesanan dan kecekapan sistem
pendidikan negara, melalui peningkatan sekolah-sekolah di Malaysia, MESTI berhasrat :
- Memperkenalkan taraf keprofesionalan personel Perkhidmatan Pendidikan sebagai pendidik, pentadbir,
dan sebagai agen-agen perubahan dalam strategi pendidikan negara, dan
- Memperkembangkan secara sistematis amalan-amalan perancangan dan pengurusan pendidikan yang
berkaitan dengan matlamat negara di mana perubahan yang dilakukan adalah berkonsepkan perubahan terancang.
Sasaran Program latihan MESTI mencakupi
- Perancangan, pentadbiran serta penyeliaan pendidikan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.
- Staf pengurusan serta pengurus-pengurus institusi pendidikan.
- Pendidik serta jurulatih guru-guru.
- Staf sokongan pentadbiran.
MESTI yang diterajui oleh Dr.Chew Tow Yow (Pengetua) dan Dr. Mohd. Yaacob Haji Mat Nong
(Naib Pengetua) bertempat di Bahagian Pendidikan Guru telah berpindah ke kampus Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Bangi pada bulan Ogos 1979 sehingga September 1980, dan kemudiannya berpindah pula ke
Blok 1, Kompleks Pantai Puri, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke kampus rasminya di
Sri Layang, Genting Highlands, Pahang Darul Makmur pada bulan Mac 1985.
Ia kemudiannya dikenali sebagai Institut Pengurusan Pendidikan Negara pada tahun 1985
selaras dengan perkembangan pesatnya dan serentak dengan perpindahan operasinya ke kampus induknya
sendiri yang terletak di kawasan seluas 121 ekar di Genting Highlands.
Pada 14 Mac 1988 YB Menteri Pendidikan Malaysia mengisytiharkan nama baru IPPN
kepada Institut Aminuddin Baki (IAB) sebagai mengenang jasa Allahyarham Aminuddin Baki (Penasihat
Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu) dalam bidang pendidikan. Matlamat IAB ialah untuk membina dan
membangunkan profesionalisme dalam kepemimpinan dan pengurusan pendidikan yang akan membantu membangunkan
sistem pendidikan kebangsaan keseluruhannya. Peranan IAB kian berkembang merangkumi program-program
yang bersepadu di peringkat institusi, daerah, kebangsaan dan antarabangsa di samping kursus-kursus
khas pada peringkat serantau dan antarabangsa. IAB terus memainkan peranannya sebagai institusi latihan
berwibawa di bawah beberapa orang Pengarah. Mulai 16 November 1988, Dr, Hussien bin Hj. Ahmad mengambil alih
kepimpinan IAB sehingga 1 Disember 1992. Kemudian institusi ini dipimpin pula oleh Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid.
Pada penghujung 1998, jawatan Pengarah IAB disandang oleh Dr. Ab. Rahim bin Selamat sehingga bulan Ogos 2000.
Mulai 1 September 2000 Dato' Dr. Wan Chik Rahmah Wan Din dilantik sebagai Pengarah IAB yang baru, dan beliau
merupakan wanita pertama yang menerajui kepimpinan IAB. Kemudiannya IAB dipimpin oleh Dr. Hj. Ishak bin Sin
sehingga 31 Disember 2004. Bermula Mei 2005, IAB dipimpin pula oleh Dr. Zulwali Kifli bin Merawi
sebagai Pengarah IAB. Kini, IAB diterajui oleh Dr. Khair bin Mohamad Yusof.
Misi IAB sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan ialah untuk menyediakan program-program
latihan bertaraf dunia, khidmat-khidmat perundingan, pelbagai penerbitan, penyelidikan dan idea-idea
pengurusan dan kepemimpinan pendidikan. Kini IAB mula memainkan peranan sebagai institusi pemikir
(think thank) mengenai dasar-dasar pengurusan pendidikan. Selain itu, IAB juga pernah mengorak langkah
mengendalikan program-program Sarjana Pengurusan Pendidikan secara usaha sama dengan universiti luar
dan dalam negara.